Jenis-jenis lorong Lorong

  • Lorong trafik - merupakan lorong-lorong utama bagi sesebuah jalan raya, tidak termasuk bahu jalan serta lorong tambahan.
  • Lorong terus - lorong trafik untuk lalu lintas bergerak terus tanpa membelok, ditandakan dengan anak panah terus ke hadapan pada persimpangan.
  • Lorong membelok - lorong trafik yang diasingkan daripada lorong terus untuk kenderaan yang membelok, terdiri daripada lorong paling kanan atau kiri pada persinpangan. Di persimpangan lampu isyarat, lorong membelok juga menyimpan sementara kenderaan-kenderaan yang hendak membelok sehinggalah lampu hijau menyala.
  • Lorong memotong - lorong tambahan yang disediakan di sesetengah jajaran jalan raya untuk membolehkan sesebuah kenderaan memotong kenderaan lain yang lebih perlahan tanpa perlu beralih ke lorong trafik dari arah hadapan. Di kawasan bukit pula, dia turut dikenali sebagai lorong mendaki untuk membolehkan kenderaan bergerak perlahan seperti lori dan bas beralih ke tepi supaya tidak mengganggu kelancaran aliran trafik. Bagi jalan raya tunggal dua lorong, lorong trafik dari arah hadapan boleh dijadikan sebagai lorong memotong di kawasan yang ditandakan dengan garisan putus-putus di tengah jalan, biasanya di jajaran jalan raya yang lurus dan rata.
  • Lorong pengumpul digunakan oleh kenderaan bergerak perlahan serta lalu lintas tempatan yang keluar basuk berikutan terdapat banyak persimpangan jalan kecil di sepanjang lorong. Ia disediakan sebagai langkah kawalan masuk jalan raya yang lebih baik di lebuh raya perbandaran.
  • Lorong ekspres digunakan oleh kenderaan laju yang bergerak terus di lebuh raya.
  • Lorong kecemasan atau bahu jalan dikhaskan untuk kenderaan rosak serta kenderaan kecemasan. Bagi jalan raya tunggal pula, bahu jalan membolehkan pemandu beralih ke tepi apabila kenderaan dari arah hadapan hilang kawalan serta memasuki laluan trafik ke arah hadapan.
  • Lorong basikal - bahagian jalan raya atau bahu jalan yang dikhaskan untuk digunakan oleh penunggang basikal.
  • Lorong motosikal mengasingkan motosikal daripada kenderaan lain di jalan raya yang sibuk untuk mengurangkan kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal.
  • Lorong bas dikhaskan untuk bas dan teksi sahaja untuk memberi keutamaan kepada kenderaan pengangkutan awam tersebut. Sesetengah negara turut membenarkan motosikal menggunakan lorong bas.